TAIPING - Hanya kerana syak wasangka, seorang suami nekad memukul isterinya sehingga meninggal dunia dalam satu kejadian di Matang dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata mangsa Noor Waheedah Abd Wahid, 38, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh kira-kira 9.30 malam tadi.

"Kejadian dipercayai berlaku pada jam 11 malam hari Khamis. Keesokannya kira-kira 9.15 pagi seorang lelaki berumur 40 tahun dan bekerja sebagai buruh datang ke Balai Polis Kuala Sepetang membuat laporan memberitahu dia telah memukul isterinya.

Isterinya cedera lalu tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Taiping sebelum  dirujuk ke HRPB selepas disyaki mengalami pendarahan dalam otak," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata bedah siasat yang dilakukan oleh pihak HRPB hari ini mendapati kematian mangsa adalah disebabkan oleh trauma tumpul.

Beliau berkata suami mangsa telah ditangkap dan pihak polis telah mendapatkan perintah reman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Pihak polis akan memohon lanjutan tempoh reman ke atas suami mangsa esok untuk siasatan lanjut kes yang direklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Punca kejadian, suami mengesyaki isteri ada hubungan rapat dengan lelaki lain," katanya.

Mohamad berkata suami isteri itu mempunyai empat orang anak berumur lima hingga 15 tahun. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini menetapkan tarikh 14 Februari depan untuk sebutan semula kes seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang lelaki pengusaha kedai cuci kereta.
  • KINABATANGAN - Seorang lelaki warga asing dipercayai suspek kes bunuh ditahan polis kurang 24 jam selepas memukul abang iparnya hingga mati di sebuah rumah di Ladang Mananggol dekat sini, pagi semalam.
  • KOTA TINGGI - [VIDEO] Seorang peniaga kedai runcit berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki awal bulan lalu.
  • TEMERLOH - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 18 Januari 2018 bagi sebutan semula kes pencuci kereta didakwa membunuh seorang peniaga kedai makan yang juga sepupunya.