KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memohon kerjasama orang ramai agar menggunakan bekalan air secara berhemah pada musim perayaan ini ekoran rizab bekalan kini kurang daripada satu peratus.
   
Kenyataan SYABAS menyebut kerjasama itu juga dipohon memandangkan kapasiti bekalan air terawat daripada loji rawatan tidak dapat menampung permintaan pengguna khususnya pada waktu puncak seperti musim perayaan.
   
Pengguna juga dinasihat memastikan semua pili air ditutup dengan sempurna atau menutup terus paip utama di meter air rumah masing-masing sebelum pulang ke kampung bagi mengelak pembaziran air, selain memeriksa paip jika berlaku kebocoran.
   
"Pemeriksaan kebocoran dilakukan dengan membaca meter air sebelum dan selepas dalam jangkamasa dua jam air tidak digunakan, dan jika meter tidak memberikan bacaan yang sama, maka terdapat kebocoran yang berlaku," katanya.
   
Pengguna juga diminta membaiki pili atau paip bocor sebelum meninggalkan rumah dan menggunakan besen atau singki berisi sabun untuk membasuh pinggan sebelum dibilas pada air yang dialir secara perlahan.

"Air lebihan memasak atau membasuh juga boleh digunakan kembali untuk aktiviti luar seperti menyiram tumbuh-tumbuhan di sekitar rumah," katanya.
   
SYABAS turut memaklumkan pelan kesiapsiagaan dan operasi tunggu sedia bagi tempoh sembilan hari bermula 7 Ogos hingga 15 Ogos bagi memastikan kesinambungan bekalan air bersih dapat disalur terus kepada pengguna di sini, Putrajaya dan Selangor sepanjang perayaan.
   
Kenyataan itu juga menyebut pelan berkenaan diserah kepada pihak yang terlibat dengan sistem pembekalan air seperti Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar; kerajaan negeri Selangor; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Anggota Parlimen serta Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.
   
Pengguna yang berdepan masalah bekalan air sepanjang tempoh itu boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-252 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPEL ke 39222 atau menerusi Twitter 'follow@puspel' atau Facebook SYABAS. - Bernama