TAIPING – Seorang lelaki bukan sahaja tidak mengendahkan tembakan amaran dilepaskan polis, malah berani melangar motosikal, kereta orang awam serta pejalan kaki dalam usaha meloloskan diri daripada dicekup, semalam.

Kejadian bermula sekitar jam 6 petang apabila  suspek yang merupakan bekas tentera berusia 29 tahun dikesan memandu kereta jenis Proton Satria Neo dalam keadaan mencurigakan oleh Pasukan Peronda Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan, sektor Jawi – Changkat Jering.

Semakan awal mendapati, kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, kenderaan itu memecut laju keluar melalui Plaza Tol Kamunting dan menuju ke arah Kamunting apabila diarahkan berhenti oleh peronda polis.

Menurutnya, ketika dikejar suspek melanggar beberapa motosikal dan kereta serta pejalan kaki yang berada di sekitar kawasan, namun tiada orang awam yang tercedera.

Katanya, polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke udara, namun tidak diendahkan suspek.

"Ketika tiba di Taman Kamunting Perdana, kenderaan terbabit terbabas dan mengalami kerosakan, suspek melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan itu.

"Gerakan mengesan suspek langsung dijalankan sebelum berjaya menahannya dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Wira, kira-kira jam 10.45 malam.

"Suspek yang berasal dari Kelantan dan merupakan orang dikehendaki polis dalam tiga kes pecah rumah itu mengaku merupakan pemandu kereta terbabit," katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan isteri suspek berusia 28 tahun dan merampas barang-barang rumah disyaki hasil daripada aktiviti jenayah sebelum ini.

Sebuah kereta jenis Perodua Alza yang diletakkan dalam garaj turut dirampas selepas didapati dilaporkan hilang bersangkut kes curi kenderaan di Terengganu.

Harith Kam berkata, ketika serbuan, pasangan suami isteri itu cuba berselindung di atas siling rumah bagi mengelak dikesan.

Katanya, kedua-duanya kini ditahan untuk siasatan atas pelbagai kesalahan membabitkan kes pecah rumah, kes curi kenderaan, kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penyalahgunaan dadah.

“Siasatan masih diteruskan membabitkan kesalahan lain yang berkaitan. Suspek lelaki  direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut manakala, polis akan memohon reman untuk isterinya, esok,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.