IPOH - Perak mengurangkan sasaran pingat emas daripada 70 kepada 50 pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang berlangsung September depan.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, sasaran terbaharu itu realistik berdasarkan keupayaan dan persediaan kontinjen negeri untuk menghadapi Sukma kali ini.

“Pengurangan sasaran pingat emas ini diputuskan setelah perbincangan dua hala antara kerajaan negeri bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Dr Benderi Dasril dan Ketua Kontinjen, Loo Kum Zhi serta pengurus kontinjen negeri.

“Sasaran awal pingat emas sebelum ini tidak mengambil kira pelbagai faktor yang memberi kesan terhadap pasukan kontinjen. Walaupun kita menjadi tuan rumah, tidak semestinya kita meletakkan sasaran pingat emas terlalu tinggi tanpa mengambil faktor sekeliling yang memberi kesan terhadap prestasi atlet,” katanya.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang media di Wisma MSN di sini, hari ini yang turut dihadiri Perunding Sukma Edisi ke-19, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Menurutnya, jumlah pingat emas itu juga membolehkan kontinjen negeri menjadi juara daripada 427 pingat emas menerusi 32 acara yang dipertandingkan.

“Jumlah 50 pingat itu adalah dalam lingkungan menjadi juara dan pengurangan sasaran itu bukanlah sesuatu yang negatif,” katanya.

Sementara itu, Howard Lee berkata, pihaknya akan menyemak semula acara basikal (trek) yang digugurkan pada sukan itu setelah menerima pengiktirafan ‘homologation’ Union Cycliste Internationale (UCI).

“Saya ada meletakkan syarat, pengguguran itu akan disemak semula sekiranya pihak persatuan dan Jabatan Belia dan  Sukan boleh dapatkan pengiktirafan itu sebelum minggu pertama Ogos ini.

“Ini syarat dipersetujui semua pihak dan setakat ini acara itu masih digugurkan. Persatuan juga memberi komitmen akan perkara ini bagi mendapatkan pengiktirafan itu,” katanya.