SERI MANJUNG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Manjung masih lagi tidak mengesan sebarang kesalahan melibatkan peniaga sejak bermulanya Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 yang dilancarkan 8 Jun lalu.

Ketua Cawangan KPDNKK Manjung, Mohamad Suhaimi Mohamad Nor berkata, setakat ini pihaknya sudah membuat pemeriksaan melibatkan 235 premis di peringkat pemborong dan peruncit di Manjung dan Perak Tengah.

Menurutnya, sehingga kini semua pemborong dan peruncit yang diperiksa masih lagi mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“SKHMP ini bermula 8 Jun hingga 22 Jun ini melibatkan 19 jenis barangan yang dikawal harga maksimum bagi membolehkan pihak kementerian mengawal selia pengedaran dan penjualan barangan serta menjamin bekalan mencukupi.

“Setakat ini sebanyak 235 pemborong dan peruncit yang telah diperiksa dan kesemua mereka mematuhi peraturan ditetapkan termasuklah meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, meletakkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang telah ditentusahkan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan akan diteruskan bagi memastikan setiap premis terlibat mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang pelaksanaan SKHMP 2018.

“Pihak kami meneruskan pemeriksaan dan sekiranya ada peniaga gagal mematuhi skim ini tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pegawai-pegawai Penguatkuasa KPDNKK Manjung akan mempertingkatkan lagi pemeriksaan dan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah barang keperluan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.