IPOH - Penguatkuasaan daripada pihak berkuasa dilihat penting demi memastikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dapat dilaksanakan dengan baik tanpa membebankan rakyat.

Pengarah Urusan Zahar Advisory Group (ZAG), Datuk Zahar Hashim berkata, faktor kenaikan harga barang ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang dilaksanakan sebelum ini, adalah disebabkan kurangnya penguatkuasaan serta kawalan daripada pihak berkuasa.

"Kalau tanya saya, sudah tentu saya kata GST baik, tetapi kenapa bila dilancarkan dahulu, harga barang naik? Ini disebabkan tak ada kawalan penguatkuasaan daripada Kastam.

"Itu sebabnya kita cadangkan supaya ada mekanisme untuk kaji harga di peringkat pembuatan  bahan mentah lagi.

"Yang penting kawalan. Kalau dulu bahan mentah dah siap 25 peratus, tambah cukai perkhidmatan lagi. Itu sebabnya kita cadangkan kaji di peringkat itu (pembuatan)," katanya kepada Sinar Harian.

Zahar berkata demikian sempena program program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengisi petrol percuma sebanyak RM5 kepada 400 motosikal di Stesen Petronas Pengkalan, semalam.

Hadir sama, Penasihat Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang turut menyempurnakan gimik pelancaran program berkenaan.

Selain mengisi minyak secara percuma, orang ramai juga berpeluang menikmati juadah ringan yang disediakan oleh pihak pengurusan stesen minyak berkenaan.

Difahamkan, program berkenaan adalah tanggungjawab sosial korporat keempat yang dianjurkan ZAG tahun ini setelah melaksanakannya di Teluk Memali, program bersama warga tua di Shah Alam dan juga bersama anak-anak yatim.

Sementara itu Zahar berharap agar setiap usahawan perlu berkongsi hasil perniagaan masing-masing supaya ia dapat dimanfaatkan masyarakat.

"Kita akan teruskan lagi CSR kita ini kerana walaupun sumbangan kita kecil, tetapi besar ertinya kepada yang memerlukan.

"Lagipun, bila banyak kita infakkan harta kita, rezeki kita akan lebih bertambah," katanya.