• rumah hijau
1 /

TASEK – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 10,000 unit Rumah Mesra Rakyat dengan reka bentuk baru berkonsepkan hijau bermula tahun hadapan.

Pengarah Urusan SPNB, Profesor Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, prototaip moden berkenaan dijangka siap pada akhir Disember ini sebelum dilaksanakan dengan harga lebih murah.

“SPNB akan mempersiapkan prototaip rumah baru itu yang dijangka siap akhir bulan Disember dan akan diumumkan sampel sebelum dilaksanakan pada 1 Januari 2012.

“Reka bentuk hijau ini menggunakan komponen mesra alam dengan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik serta menyerap haba. Selain itu, konsep rumah yang menggunakan air hujan sebagai kegunaan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penyerahan kunci Rumah Mesra Rakyat kepada Aziah Endut di Kampung Tersusun Seri Klebang di sini, semalam. Hadir sama, Adun Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Menurutnya, SPNB juga memutuskan menggunakan kaedah menyiapkan bahan binaan ditapak pembinaan bagi mengurangkan kos.

“Konsep Internal Body work system (IBS) menyokong usaha untuk memodenkan industri pembinaan negara yang lebih murah dan mudah serta mengurangkan kos logistik.

“Selain bercirikan reka bentuk hijau, harga RM65,000 seunit jauh lebih rendah berbanding dengan rumah kini serta rumah berkenaan lebih luas kepada 1,000 kaki persegi namun, masih mengekalkan konsep pembayaran sejumlah RM150 sebulan selama 25 tahun,” katanya.

Dr Kamarul Rashdan berkata, dalam membantu golongan berpendapatan rendah, kerajaan juga menyediakan memperuntukkan sejumlah RM200 juta dalam Bajet 2012 sebagai subsidi pembelian rumah berkenaan.

“Pemohon hanya perlu membayar dua per tiga harga rumah berkenaan melalui pembiayaan dari pihak bank. Model baru ini menepati kehendak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam yang mahu mempelbagaikan program ini,” katanya.