IPOH - Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke-20 diharap menjadi pentas untuk para atlet menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa sekali gus membuktikan komunikasi bukan satu halangan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, selepas temasya Sopma 2018 para atlet akan berhadapan dengan cabaran Sukan Orang Pekak Asean, Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan Sukan Deaflimpik.  

“Syabas saya ucapkan kepada setiap kontinjen kerana sanggup menyahut cabaran ini walaupun banyak halangan dan rintangan yang dihadapi, namun kegigihan dan kesungguhan anda untuk berjuang demi nama baik negeri amat saya kagumi.

“Bangkit dan berjuanglah sehabis daya anda untuk negeri masing-masing. Selari dengan konsep ‘Sukan Untuk Semua’, ternyata warga kurang upaya pendengaran mampu bersukan seperti atlet bukan Pekak yang ada di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pembukaan Sopma ke-20 di Dewan Seri Perdana Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia, Kamarzaman Harun berkata, beliau berharap akan ada lebih ramai pihak yang sudi memberi sumbangan bagi membolehkan atlet yang terpilih mewakili negara bertanding ke peringkat antarabangsa.

“Kita sangat memerlukan dana untuk menghantar para atlet ke peringkat antarabangsa,” kata - Bernama

Dalam pada itu, pada temasya kali ini, 46 pingat emas dipertandingkan menerusi lima acara iaitu bola sepak, futsal, tenpin boling, badminton dan olahraga.

Sopma yang berlangsung selama lima hari mulai hari ini hingga 20 Oktober melibatkan 2,500 atlet dan pegawai dari 14 negeri.