IPOH - Kerajaan Perak menyokong usaha ke arah mengantarabangsakan belia di negeri ini.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, penganjuran beberapa program seperti Pertandingan Perbahasan Mandarin Utara Malaysia ke-4 (NMMDT 4.0) yang turut mendapat penyertaan daripada universiti antarabangsa mampu mendedahkan persekitaran kondusif belia dalam membina jaringan sosial.

Menurutnya, pertandingan yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 September di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu akan membabitkan 21 pasukan terdiri daripada 18 pasukan universiti tempatan dan tiga lagi daripada Australia, Hong Kong, Singapura.

"NMMDT 4.0 merupakan pertandingan perbahasan antarabangsa yang menggalakkan perkongsian intelektual antara para pembahas tempatan dan luar negara.

"Kalau dilihat, sistem pendidikan negara kita secara amnya kekurangan saluran untuk mencetus falsafah dan pengetahuan am. Oleh itu, aktiviti perbahasan merupakan salah satu cara berkesan memajukan kecerdasan fikiran dan kefasihan kata-kata," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pertandingan Perbahasan Mandarin Utara Malaysia ke-4 di Bilik Mesyuarat G1, Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UTP, Prof Madya Dr Nurlidia Mansor; Penasihat NMMDT4.0, Dr Oh Pei Ching dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NMMDT4.0, Lai Yong Lin.

Howard berkata, memandangkan ia selaras dengan agenda pembangunan belia di Perak, kerajaan negeri turut menyumbang RM15,000 bagi menjayakan pertandingan tersebut.