BAGAN SERAI - Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyokong cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub melaksanakan proses pemutihan Elaun Sara Hidup (ESH) kepada golongan petani dan nelayan yang berkelayakan sahaja.

Menurutnya, cadangan Salahuddin yang dijangka akan dilaksanakan pada hujung tahun ini amat penting bagi memastikan tiada ketirisan wang rakyat dalam soal penyaluran elaun terbabit.

Noor Azmi berkata, pihaknya tidak menafikan ada berlaku ketirisan dalam aspek penyaluran ESH terutama terhadap golongan nelayan oleh kerajaan terdahulu.

“Daerah Kerian sebagai sebuah daerah yang mempunyai bilangan nelayan laut dan darat teramai di negara ini pastinya tidak terlepas dari aspek penipuan penerimaan ESH oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab.

“Malahan, sewaktu saya menyempurnakan majlis penyerahan ESH kepada nelayan dalam satu program di sini, terdapat tangan ‘nelayan’ yang lebih lembut daripada tangan saya sewaktu bersalaman selepas menerima cek elaun berkenaan.

“Senario itu sebenarnya menunjukkan ada dalam kalangan nelayan terbabit yang sebenarnya bukan bekerja sebagai nelayan pun, tetapi sanggup ‘menipu’ wang kerajaan untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada media pada majlis penyampaian sumbangan peralatan pertanian di bawah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Bagan Serai, semalam.

Noor Azmi (tengah) teruja meraikan program penyerahan sumbangan peralatan pertanian dari MPPP Parlimen Bagan Serai bersama kesemua penerima bantuan.

Dalam majlis itu, seramai 20 petani Parlimen Bagan Serai menerima sumbangan pelbagai peralatan pertanian bernilai antara RM2,000 hingga RM5,000 bagi tujuan meningkatkan taraf kehidupan diri masing-masing.

Sementara itu, Noor Azmi yang kini Ahli Parlimen Bebas turut menggesa kerajaan Harapan memperkasakan kembali fungsi MPPP bagi menjadi medium terbaik membantu golongan petani di peringkat akar umbi.

Menurutnya, kewujudan majlis perundingan itu sebelum ini tidak diberi tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terdahulu, mengakibatkan ramai golongan petani kurang menerima perhatian sewajarnya.

“Kewujudan MPPP amat bagus dalam membantu mana-mana golongan petani dan nelayan menceburi bidang keusahawanan dengan pemberian bantuan berkonsepkan ‘bagi joran untuk pancing’.

“Kita minta fungsi majlis ini diperkasa semula dan saya secara peribadi berharap ianya menjadi medium wakil rakyat setempat mendekati dan berkhidmat kepada golongan petani dan nelayan secara lebih efisien pada masa hadapan,” katanya.