BAGAN SERAI - Penahanan tiga lelaki warga Indonesia dan penemuan pelbagai peralatan kegiatan pecah rumah  di dalam sebuah kereta di Jalan Perwira, Taman Bagan Serai di sini awal pagi tadi membolehkan polis menumpaskan sebuah sindiket pecah rumah sarang bulut walit sekitar Kerian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sekitar jam 3.30 pagi tadi, sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) diketuai Ketua Balai Bagan Serai, Inspektor Marzuki Mat terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pihaknya segera menahan kenderaan terbabit dan pemeriksaan terhadap tiga lelaki di dalam kenderaan tersebut mendapati mereka adalah warganegara Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ketiga-tiga suspek warganegara Indonesia itu berusia antara 33 hingga 34 tahun, gagal menunjukkan sebarang pengenalan diri dan pemeriksaan terhadap kenderaan yang digunakan menemui satu beg galas berisi pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

"Turut ditemui pelbagai lagi barangan lain yang disembunyikan di bahagian alas kaki tempat duduk penumpang belakang.

"Malah siasatan terhadap suspek membolehkan mengaku mereka turut terlibat dalam kes pecah bangunan sarang burung di daerah ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.