LUMUT - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Pulau Pangkor, di sini, kelmarin, apabila seorang `tauke dadah’ besar dicekup selepas dikesan menjadikan sebuah rumah sebagai markas membungkus dadah.

Suspek yang berusia 40-an dikatakan terkenal di kalangan penagih dadah dan pelancong asing di pulau peranginan itu berikutan mampu membekalkan pelbagai jenis dadah seperti syabu, heroin dan ganja.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kegiatan suspek berjaya dibongkar pada jam 12.30 tengah hari, selepas pihak polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung mendapat maklumat sejak beberapa bulan lalu.
 
Menurutnya, polis melakukan intipan sebelum mendapati suspek berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah disewa khas di Jalan Tepi Laut, Sungai Pinang Besar, Pulau  Pangkor.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis bagaimanapun bertindak melarikan diri sebelum dikejar beberapa anggota polis. Suspek yang cuba melawan berjaya ditumpaskan sebelum digari. “Polis kemudian melakukan pemeriksaan pada tubuh suspek selain beg khas yang diletakkan pada bahunya.

Hasil pemeriksaan kemudian menemui empat paket plastik kecil berisi serbuk dipercayai dadah heroin seberat lebih 229 gram,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemui paket plastik berisi lima ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamin atau syabu seberat lebih 60 gram.

“Susulan penahanan suspek itu, polis bertindak menyerbu rumah disewa lelaki berkenaan sebelum mendapati tiga lelaki warga Myanmar sedang melakukan kerja membungkus dadah di dalam kediaman berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek warga asing itu tidak sempat melarikan diri dan diberkas. Pemeriksaan lanjut kemudian menemui paket plastik berisi dadah heroin seberat kira-kira 50 gram,” katanya.

Difahamkan suspek yang juga seorang penganggur menjadi pembekal utama dadah di pulau berkenaan selain menjadikan tiga warga asing itu sebagai pekerjanya untuk membungkus dan menghantar dadah berkenaan.

“Semua suspek dibawa ke IPD Manjung untuk ditahan reman mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah berbahaya 1952. Ujian air kencing terhadap suspek turut mendapati mereka positif dadah, “ katanya

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.