KATI - Kerajaan negeri meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat sindiket penipuan penjualan tanah milik kerajaan negeri kepada orang awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan kes penipuan itu kini semakin berleluasa apabila kes yang berlaku di Lenggong sebelum ini turut dikesan di beberapa tempat di negeri ini.

Menurutnya, kes terbaharu melibatkan penjualan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) seluas 121.406 hektar di Kledang Saiong Bekor, Kuala Kangsar.

“Kita minta polis dan SPRM siasat dan tangkap mereka ini yang menggunakan nama agensi kerajaan negeri memanipulasi serta menipu orang ramai. Saya sudah bangkitkan perkara ini dan mahu ia dilihat secara serius. Cari mereka. Dulu, ada kes di Lenggong dan kini di Kuala Kangsar.

“Ada orang awam mengadu pada kita kononnya ada tanah 4,000 hingga ke 5,000 ekar yang mahu dilelong, dijual oleh perbadanan pertanian, oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG), oleh kerajaan negeri sedang ia tak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kenduri Rakyat di Masjid Kampung Chuar sempena Program Permukiman Menteri Besar ke Daerah Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Zambry berkata, sindiket terbabit juga menggunakan dokumen tertentu seperti salinan geran dan surat kebenaran yang kononnya dikeluarkan PPPNP untuk menipu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti sama ada kes tersebut melibatkan orang dalam jabatan terlibat atau sebaliknya.

“Kita juga akan lihat maklumat seperti dokumen yang mereka pegang. Saya tidak pasti sama ada kes ini melibatkan penglibatan orang dalam atau tidak,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan media dikeluarkan PPPNP, kumpulan itu mendedahkan penawaran penjualan tanah milik mereka seluas 121.406 hektar di Kledang Saiong Bekor, Mukim Senggang, Kuala Kangsar dikesan melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut kenyataan itu, keseluruhan tanah yang ditanam kelapa sawit itu ditawarkan untuk dijual pada harga yang tinggi iaitu RM20,000 bagi setiap 0.4 hektar.

“Selain nilai tawaran yang tinggi, penipuan ini adalah melampau kerana memberi persepsi dan gambaran salah kepada umum tentang dasar serta polisi Kumpulan PPPNP terhadap setiap aset miliknya,” tambah kenyataan itu.

PPPNP turut mendedahkan penjualan tanah sama melalui Facebook yang dimuat naik dalam akaun seorang wanita dengan secara jelas memberitahu tanah tersebut milik PPPNP berserta nombor telefon kononnya pemilik tanah.

Dalam perkembangan lain, PPPNP turut mengenal pasti seorang individu berpengaruh yang menceroboh dan meneroka secara haram tanah milik agensi itu di Mukim Ulu Bernam Barat di daerah Mualim.

Keseluruhan bahagian tanah yang dicerobohi individu itu diusahakan bersama pihak ketiga menerusi papan tanda yang didirikan di serata kawasan tanah tersebut.

Laporan Polis sudah dibuat oleh pihak PPPNP bagi kes penjualan tanah di Kuala Kangsar pada 15 Mei dan 17 Mei lalu di Balai Polis Kampung Rapat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Universiti Selangor (Unisel) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta oleh MBI kepada sebuah syarikat swasta.
  • KOTA KINABALU - Empat pegawai polis di Lahad Datu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin bagi membantu siasatan kes bersetuju menerima atau memperoleh wang rasuah sebanyak RM20,000.
  • JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan seorang lelaki bersama pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM630,950, dalam serbuan di sebuah premis pusat hiburan di bandar raya ini.
  • GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa siasat semula kes penjualan tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).
  • SERI ISKANDAR - Bagi mengelak ditahan dalam sekatan jalan raya, sindiket penyeludupan rokok putih menukar modus operandinya dengan menghantar bahan terlarang itu pada waktu siang.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.