IPOH - MCA Perak mahu semua kerja pembinaan dan  baik pulih fasiliti sukan di negeri disiapkan segera menjelang pembukaan rasmi Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, 11 September ini.

Ketua Biro Aduan MCA, Jimmy Loh berkata, berdasarkan tinjauan masih banyak fasiliti sukan yang masih belum siap sepenuhnya menjelang pembukaan rasmi temasya sukan terbesar negara itu.

Malah menurutnya, perkara berkenaan perlu diberikan perhatian serius berikutan kontinjen-kontinjen dari seluruh negara sudah mulai tiba di negeri ini.

“11 September ini acara perasmian Sukma 2018 akan diadakan, tetapi banyak perkara yang masih belum siap dengan sempurna.

“Antaranya seperti di Ulu Chepor. Jalan masuk lokasi sukan menembak  didapati terhalang dengan tiang-tiang elektrik.

“Selain itu ada lagi beberapa lagi perkara seperti yang perlu disiapkan segera seperti keadaan persekitaran di lokasi pertandingan yang dilihat terbiar,” katanya pada sidang media, pagi tadi.

Tambah Jimmy, pihak juga menyelar penganjuran pelbagai forum menjelang sukan dwi tahunan itu baru-baru ini.

Katanya, penganjuran forum berkenaan boleh ditangguhkan dan fokus sebenar perlu diberikan untuk menyiapkan segala fasiliti sukan.

“Fokus seharusnya kepada bagaimana untuk siapkan fasiliti sukan. Janganlah bagi malu, kerana Sukma adalah acara sukan terbesar di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan Chow memaklumkan, pihaknya akan mengadakan sidang media berkaitan venue serta penginapan bagi kontinjen Sukma Perak 2018 di Majlis Sukan Negeri (MSN), pada 6 petang ini.