TEMOH - Bagaikan mencurah air ke daun keladi. Pepatah tepat menggambarkan sikap degil segelintir penunggang motosikal apabila ditahan dalam Ops Samseng di Dataran Aman Jaya, pada baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, dalam Ops Samseng yang dijalankan, pihaknya memeriksa 93 motosikal dan menahan 110 orang individu yang dipercayai melakukan pelbagai jenis kesalahan trafik.

Katanya, operasi yang dijalankan itu  adalah hasil intipan pegawai dan anggotanya sejak dua minggu lalu bagi membanteras kejadian lumba haram di kawasan itu.

“Sebelum ini pada bulan Oktober lalu,  kita (IPD Tapah)  telah melakukan operasi yang sama namun masih ada penunggang motosikal berdegil  dan melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Bahkan, hasil pemeriksaan pegawai dan anggota  saya mendapati ada beberapa individu  yang ditahan dalam Ops Samseng pada tahun lalu atas kesalahan sama,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Som Sak berkata, pihaknya juga percaya individiu yang ditahan dan diperiksa sedang bersiap sedia untuk berlumba haram di kawasan tersebut.

“Tiada kenderaan dirampas dan kesemua penunggang serta pembonceng kemudiannya dibebaskan,” katanya.