PARIT BUNTAR - Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Melayu (PPKM) Daerah Kerian mencadangkan Majlis Daerah Kerian(MDK) menyerahkan kembali hak penganjuran program Bazar Ramadan dan Ekspo Niaga Aidilfitri kepada persatuan itu bermula tahun hadapan.

Pengerusinya yang baharu dilantik, Elias Sarakawi berkata, cadangan itu dikemukakan bagi memberi ruang pihak persatuan memperolehi dana tambahan untuk melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada ahlinya.

Menurutnya, sejak lima tahun lalu, hak penganjuran dua program niaga utama itu dipegang MDK dan persatuan melihat kewajaran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melepaskan kembali perkara itu kepada pihaknya yang lebih berkelayakan.

“Dalam mesyuarat pertama PPKM daerah Kerian yang diadakan baru-baru ini, jawatankuasa persatuan menyasarkan perlu mendapatkan dana bagi menggerakkan aktiviti persatuan pada masa hadapan.

“Kita akan minta MDK beri semula lesen penganjuran bazar Ramadan dan Ekspo Niaga Aidilfitri kepada kami pada tahun hadapan.

“Sebelum ini, kedua-dua program perniagaan itu dikelolakan MDK, namun kali ini kita mohon MDK beri ruang kepada pihak persatuan menganjurkannya bagi memberi peluang lebih ramai peniaga kecil bumiputera mengambil bahagian berniaga,” katanya sewaktu ditemui media di sini hari ini.

Elias berkata, sekiranya PPKM daerah Kerian diberi ruang menganjurkan kedua-dua program itu, pihaknya juga berjanji akan mengkaji semula caj tapak bulan bagi program Ekspo Niaga Aidilfitri kepada kadar lebih bersesuaian dengan kemampuan peniaga.

Menurutnya, bagi penganjuran bazar Ramadan pula, persatuan turut bercadang akan menyeragamkan penggunaan khemah bagi setiap lot tapak niaga untuk tujuan pengindahan kawasan premis bazar tersebut.

“Sebelum ini, pihak persatuan dimaklumkan caj bayaran sewa bagi satu lot tapak bazar Ramadan  berharga lebih RM100 sebulan, manakala bagi satu lot tapak Ekspo Niaga Aidilfitri dikenakan caj RM3,000 sebulan.

“Saya kira caj bagi satu lot tapak Ekspo Niaga Aidilfitri dikenakan MDK sebanyak itu adalah terlalu tinggi dan kita akan kaji harga bersesuaian.

“Inisiatif ini penting bagi menggalakkan peniaga kecil mengambil bahagian dalam aktiviti perniagaan dalam kedua-dua program berkenaan,” katanya.

Elias berkata, sebenarnya penganjuran dua program perniagaan tahunan itu sudah dikelolakan persatuan peniaga kecil daerah lain sejak dahulu lagi dan daerah Kerian dilihat agak terlewat.

Namun, Elias menyifatkan perkara itu masih boleh diperbetulkan dan persatuan akan mengambil peranan lebih besar dalam mengetengahkan peluang perniagaan kepada golongan peniaga kecil bumiputera Kerian.

“Selain itu, dalam mesyuarat persatuan baru-baru ini, jawatankuasa baharu dilantik turut membuat satu ketetapan untuk menganjurkan satu pusat perniagaan ‘Gerbang Malam’ berkonsepkan ‘Uptown’ di sepanjang tapak parkir kenderaan bertentangan pejabat Tabung Haji cawangan Parit Buntar di Pusat Bandar Parit Buntar.

“Idea itu turut disokong penaung persatuan yang juga Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim memandangkan daerah Kerian memerlukan satu aktiviti perniagaan berimpak tinggi bagi menghidupkan suasana waktu malam di Pusat Bandar Parit Buntar.

“PPKM Kerian turut berharap semoga kerajaan baharu dapat membantu pergerakan pihak persatuan dan memberi kemudahan kepada kami dalam membela nasib golongan lebih 500 peniaga kecil bumiputera daerah Kerian berdaftar dengan kami,” katanya.