PARIT BUNTAR - Kesemua perancangan pembangunan infrastruktur bagi keseluruhan venue Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak bakal disiapkan pada Mac tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, kerajaan negeri sudah memperuntukkan sebanyak RM160 juta bagi melengkapkan keseluruhan kemudahan infrastruktur bagi Sukma Perak.

Menurutnya, persiapan yang sedang giat dilaksanakan ialah kerja membaik pulih Stadium Perak, pembinaan venue kolam renang, lapangan sasar, projek menaik taraf Padang Bandaran dan beberapa kemudahan lain.

“Stadium Perak akan mengalami pertambahan dua set lampu LED, trek baru dan kerusi tempat duduk yang kesemuanya dijangka siap Mac ini.

“Stadium itu juga akan boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak bermula 3 April ini manakala lapang sasar juga akan siap Mac.

“Kerajaan negeri menyasarkan kesemua infrastruktur terbabit disiapkan lebih awal bagi memberi ruang atlet Perak menyesuaikan diri lebih awal dengan membuat latihan di venue kejohanan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutup Kursus Ketua Enam Sekawan Pengakap Kanak-Kanak dan Ketua Patrol Pengakap Peringkat Daerah Kerian di Pusat kecemerlangan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian, hari ini.

Seramai 214 murid dan pelajar sekolah daerah Kerian menyertai kursus sejak Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Abdul Puhat berkata, sejumlah RM10 juta turut diperuntukkan bagi memastikan persiapan 200 atlet Perak yang kini menyertai dua latihan pusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menghadapi Sukma 2018, berjalan lancar.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyasarkan pasukan Perak bakal menjadi juara dalam edisi Sukma ke-19 dengan kutipan sekurang-kurangnya 70 pingat emas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan seramai 11,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen seluruh negara akan menyertai Sukma Perak 2018 yang dijangka berlangsung pada 12 hingga 22 September depan.