GERIK - Selesainya pemilihan sayap Umno Bahagian Gerik memperlihatkan ketiga-tiga jawatan Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bertukar pemimpin, tidak lagi sama seperti pemilihan lalu.

Paling mencuri tumpuan sudah semestinya jawatan Ketua Wanita kini disandang Adun Temengor, Salbiah Mohamed yang sebelumnya memegang jawatan ketua Puteri.

Salbiah Mohamed

Pengumumannya menawarkan diri bertanding jawatan tersebut mendapat reaksi positif daripada ahli parti kerana beliau sememangnya pemimpin disegani di Gerik mahupun di Perak.

Perubahan kepimpinan Umno Bahagian Gerik menunjukkan ahli mendambakan perubahan parti.

Bukanlah menidakkan jasa, kejayaan pimpinan terdahulu namun perubahan dianggap perlu demi kelangsungan parti.

Misi tambah keahlian

Begitulah pandangan Ketua Pemuda Umno Gerik yang baru, Sallehuddin Md Isa yang kini mahu memberi fokus untuk menambahkan ahli Umno terutamanya dalam kalangan Pemuda selepas ini.

“Kemenangan ini merupakan satu amanah yang besar kepada saya. Fokus saya selepas ini adalah untuk menambahkan ahli supaya Umno kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Salbiah (kiri) banyak menjalankan aktiviti bersama masyarakat dan disenangi rakyat Gerik.

“Apa yang dibuat kepimpinan terdahulu, mana yang baik kami akan teruskan dan mana yang kurang baik, kita akan cuba tambah baik. Perkara pokoknya adalah untuk kita perkasakan parti.

“Kita mahu pastikan Gerik terus menjadi kubu kuat BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, dia berbangga kerana setakat ini tiada ahli Umno di Gerik melompat parti meskipun terdapat pelbagai tawaran dibuat terutamanya kepada pemimpin tertinggi parti.

“Mengikut maklumat saya, tiada ahli keluar parti meskipun ada tawaran buat mereka, ahli tetap setia dengan Umno. Apa pun, kita akan cuba menambah baik aspek kepimpinan parti di Gerik.

“Kita akan bantu perkasakan parti bermula usaha secara mikro dan membentuk menjadi makro. Kita akan tekankan tiga aspek utama iaitu pengorbanan, keikhlasan dan kesetiaan kepada parti,” ujarnya.

Sallehuddin yang mula melibatkan diri dalam politik sejak berusia belasan tahun turut menyatakan kesediaannya untuk berkorban demi memperkasakan parti.

Satu cabaran besar

Dalam pada itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Gerik yang baru, Siti Fairus Othman menganggap cabaran buatnya agak besar kerana mengambil alih tugas dari Salbiah, seorang pemimpin bernama besar di Hulu Perak.

Siti Fairus Othman

Begitupun, beliau optimis mampu melakukan tugas sebaiknya kerana Salbiah yang dianggap sebagai guru banyak membimbingnya sebelum ini.

“Kami di pihak Puteri Umno akan meneruskan kesinambungan semasa YB (Yang Berhormat) Salbiah memimpin kami dulu. Kami akan tanamkan rasa berkasih sayang dalam setiap program dianjurkan.

“Bila kami turun padang, kami turun betul-betul berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat. Itu yang YB Salbiah terapkan kepada kami sebelum ini dan perkara sebegitulah akan diteruskan,” ujarnya.

Tambah Siti Fairus, dia berharap jurang antara Wanita dan Puteri Umno Bahagian Gerik akan hilang selepas ini dan mereka boleh bekerjasama menjalankan pelbagai program untuk masyarakat.

Sallehuddin (tiga kiri) mahu memberi tumpuan menambah keahlian Umno Gerik terutama dari kalangan pemuda.

“Sebelum ini tidaklah ketara jurangnya kerana kami selalu juga bekerjasama. Cuma selepas ini lebih mudah untuk kami bekerja dengan YB Salbiah kerana kami sudah biasa dengan beliau.

“Dengan kerjasama sebegini, saya yakin Umno Gerik akan bangkit dan menambah lebih ramai ahli sekaligus memastikan Gerik terus menjadi milik BN,” katanya.

Landskap politik baharu

Meskipun BN menang ketiga-tiga kerusi di Gerik namun terdapat kebimbangan melihatkan sokongan rakyat mula berubah dek kerana perbezaan landskap politik masa kini.

Dalam PRU14, Harapan meletakkan calon muka baru namun mereka dilihat memberi saingan kepada calon BN. Berdasarkan keputusan tersebut, ia sebenarnya isyarat kepada Umno dan BN Gerik untuk mengukuhkan parti mereka.

Umno Gerik sudah mula melakukan perubahan dan pastinya mereka mengharapkan ia mampu menguatkan semula parti. Apa pun, pilihan tetap di tangan rakyat!