IPOH - Semua institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama di Perak perlu dibuat audit bagi memastikan pengurusan kewangan mereka baik.

Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi berkata, audit diperlukan kerana kebanyakan institusi ini mengutip derma dari orang ramai dan menerima dana awam.

Katanya, ia bertujuan memastikan pengurusan kewangan pada tahap yang baik dan telus.

“Maka satu sistem mengurus kewangan yang betul mesti ada supaya kita nak tahu banyak mana duit dibelanjakan dan ke mana duit ini dibelanjakan.

“Saya setuju (audit dibuat) bukan setakat mereka mendapat bantuan derma dan sebagainya tetapi saya berpandangan kebanyakan daripada sekolah-sekolah agama ini merupakan daripada pembiayaan derma rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir Sambutan Hari Raya Tadika Islam Perak, Masjid Ghufran, Kampung Manjoi, di sini.

Asmuni berkata, kerajaan negeri akan melihat perkara tersebut dengan lebih serius kerana tidak mahu sekolah menggunakan dana sepatutnya ke tempat lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga kini belum ada sebarang pertemuan dibuat dengan pihak Pusat Pendidikan Al Barakah berkaitan isu penjualan bangunan pusat tersebut.

Sebelum ini, Asmuni menjelaskan kerajaan negeri terbuka untuk pihak berkenaan berbincang sebarang masalah dan membantu.