IPOH - Seorang penganggur ditahan selepas didapati memiliki dadah bernilai RM9,500 dalam serbuan di sebuah rumah Taman Mas di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek berusia 55 tahun ditahan bersama isterinya berusia 57 tahun dan anak perempuannya berusia 18 tahun.

“Mereka ditahan kira-kira jam 11.35 malam dan pemeriksaan menemui heroin seberat 468.47 gram dan 25.75 gram methamphetamine yang disimpan dalam sampul surat yang diletakkan atas tangga rumah suspek.

“Barang terlarang itu dirampas dan kesemua suspek dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, tiada sitaan harta dilakukan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.