TANJUNG MALIM -  Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai ruang peluang pendidikan yang terbaik kepada generasi muda kerana ia mampu membawa kesan kepada perubahan dan penentu masa depan negara.

Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi dan Kampung Baru negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata ini kerana generasi muda masa kini merupakan golongan yang bakal melalui zaman 2050 dan mereka merupakan individu yang berkepentingan dalam merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kita (kerajaan negeri) percaya menerusi pendidikan, ia mampu memperkembangkan dan membantu pertumbuhan ekonomi seterusnya menjadi negara maju dan berdaya saing," katanya ketika berucap merasmikan Program 'Unnovate Muallim Youth 2018' anjuran Majlis Belia Negeri Perak di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini hari ini.

Dr Mah berkata generasi muda perlu mengambil pelbagai peluang yang disediakan kerajaan untuk memajukan diri ke arah yang lebih baik dan buang sikap negatif yang ada dalam diri kerana mereka yang akan mencorakkan masa depan negara.

"Waktu itu (tahun 2050) ada di antara mereka yang akan menjadi pemimpin dan menceburkan diri dalam pelbagai bidang, oleh itu generasi muda perlu memupuk semangat jati diri bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk seluruh masyarakat sekeliling," katanya. - Bernama