GERIK - “Saya dengar mak merintih sakit, ayah pula ketika itu masih sedar, cuma ada darah keluar dari hidungnya. Adik pula terkebil-kebil lihat kami, mereka semua tersepit,” kata Anis Syafika Rosli, 35, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM45.4 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, hari ini.

Kejadian berlaku jam 1 petang itu telah mengorbankan empat nyawa, dua daripadanya ayah dan adik lelaki Anis Syafika yang menaiki kereta berasingan.

Ketika kejadian, mereka sekeluarga bersama tiga lagi kenderaan lain berkonvoi dalam perjalanan pulang ke Pasir Puteh, Kelantan.

Anis Syafika (kiri) dan adiknya, Syazliana masih bersedih ketika ditemui di Unit Kecemasan, Hospital Gerik, semalam.

Mereka yang maut, Rosli Zakaria, 54, dan Mohd Syafiq Rosli, 23, yang juga orang kurang upaya (OKU) menaiki kereta pacuan empat roda jenis Nissan Frontier, ibu Anis Syafika, Che Yam@Mariam Che Awang, 45, pula dilaporkan parah.

Sementara dua lagi yang maut merupakan penumpang kereta mewah jenis Audi A4, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan anaknya, Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17.

Anis Syafika berkata, ketika kejadian, dia memandu kereta jenis Perodua Kenari bersama dua lagi adiknya di hadapan.

Sementara ayah, ibu dan dua lagi adiknya mengekori dari belakang.

“Tiba di satu laluan selekoh, datang sebuah kereta dari arah hadapan. Saya cuba elak daripada bertembung menyebabkan kereta kami berpusing dan terbalik beberapa kali tetapi kereta ayah tak sempat elak.

“Saya dan dua lagi adik keluar kereta dengan bantuan orang awam,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Gerik, hari ini.

Lari sejauh 100 meter

Anak sulung dari enam beradik ini berkata, sebaik menyedari keadaan kereta ayahnya itu, dia berlari sejauh hampir 100 meter dalam keadaan tangan dan kaki luka untuk melihat keadaan sebenar mereka.

“Sebaik dapat keluar dari kereta, perkara pertama saya cari kereta ayah. Saya nampak kereta tu dah remuk. Tanpa fikir kecederaan diri, saya berlari ke arah mereka.

“Ayah dan adik masih sedar ketika itu. Bila mereka pejam mata, saya andaikan mungkin pengsan sampailah anggota keselamatan tiba dan sahkan mereka sudah tidak ada,” katanya.

Dia mengakui, masih trauma dengan kejadian itu, namun dalam masa sama bersyukur apabila ibu dan empat beradik yang lain selamat.

Katanya, mereka sekeluarga pulang selepas tiga hari menghabiskan masa di Pulau Pinang melawat saudara yang tenat.

“Ini kali pertama  kami dapat bercuti bersama, arwah adik nampak gembira, senyum sahaja.

“Sebelum ini dia susah nak keluar rumah sebab lumpuh akibat kemalangan jalan raya, lapan tahun lepas,” katanya.

Semua mayat telah dituntut ahli keluarga masing-masing, semalam.

Kereta berpusing, terbabas

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Audi dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun bergesel dengan kenderaan Perodua Kenari dipandu seorang wanita secara bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta wanita terbabit berpusing dan terbabas ke kanan jalan.

“Audi terbabit kemudiannya telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Nissan Frontier,” katanya.

Beliau berkata, empat mangsa disahkan maut di tempat kejadian iaitu pemandu dan penumpang  Nissan Frontier manakala dua lagi merupakan penumpang kereta Audi.

Katanya, dua yang parah iaitu penumpang kereta Nissa Frontier dan pemandu Audi dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Taiping.

“Lima mangsa yang lain berusia antara 14 hingga 35 tahun pula telah mendapatkan rawatan di Hospital Gerik sebagai pesakit luar,” katanya.

Ismail berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, tujuh anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.  

“Anggota menjalankan operasi menyelamat dengan membawa keluar wanita yang tersepit di tempat duduk kereta Nissan Frontier manakala yang lain diselamatkan oleh orang awam.

“Anggota turut membersihkan kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian selepas semua mangsa dihantar ke hospital dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Katanya, operasi tamat kira-kira jam 4 petang tadi.