SITIAWAN - Bapa penyelia kebun buah, Norehan Mat Saad, 31 yang meninggal dunia selepas parah ditikam Selasa lalu, akan menjaga kedua-dua cucunya bersama isterinya.

Norehan yang juga ibu tunggal meninggalkan seorang anak perempuan dan lelaki, Nur Armanina Abdul Halim, 11 tahun dan Muhamad Emeral Uzma, 7 tahun.

Mat Saad Sarijan, 70, atau lebih dikenali Wak Said berkata, dia tidak menyangka anak keenamnya itu pergi meninggalkan mereka sekeluarga dalam keadaan menyayat hati selepas lebih seminggu tidak sedarkan diri di hospital.

“Apa boleh buat, kami terpaksa menerima takdir ALLAH SWT dengan reda apabila Norehan meninggalkan kami dan lebih memilukan apabila anak-anaknya masih kecil dan memerlukannya.

“Anak saya itu ibu tunggal dan dia sangat kuat membesarkan anak-anaknya sendirian dengan bekerja keras, tapi sekarang dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kota, Beruas, di sini, semalam.

Menurut Wak Said, dia mengetahui anaknya itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar melalui panggilan telefon jam 12 tengah hari kelmarin.