TAIPING - Pendengaran deria penting dalam perkembangan bahasa dan pertuturan terutamanya bagi kanak-kanak. 

Pengarah Hospital Taiping, Dr Narimah Yusof berkata, justeru saringan pendengaran awal sangat perlu untuk mengesan tahap pendengaran. 

Menurutnya, pemeriksaan ini diadakan untuk mengesan masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak seusia bayi yang boleh terjadi akibat daripada  pelbagai faktor, antaranya genetik, masalah kekal atau sementara dan jangkitan ketika demam.

“Di Hospital Taiping, kami amat menitikberatkan masalah ini.

“Sejak 2013, program saringan pendengaran telah dijalankan terhadap 6,000 kelahiran setiap tahun. 

“Dan hasilnya, seramai 16 bayi telah dikesan mempunyai masalah pendengaran kekal. 

“Bayi-bayi ini telah diberikan rawatan dan intervensi awal agar dapat menjalani kehidupan seperti kanak kanak normal lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan majlis perasmian Larian Kesedaran Kepentingan Pendengaran dan Pertuturan (BHS) di Dataran Kedamaian, Taman Tasik Taiping, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Narimah berkata, Hospital Taiping buat julung kalinya mengadakan acara larian seumpama ini.

“Acara ini adalah bertujuan untuk mempromosikan kesihatan serta meningkatkan usaha untuk mencegah penyakit-penyakit berkaitan dengan amalan cara hidup yang sihat.

 “Saya percaya, melalui kerjasama erat dan kerja berpasukan dalam menganjurkan program kesihatan seperti ini, ia akan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada penduduk  tempatan tentang betapa pentingnya penjagaan pendengaran dan pertuturan bagi setiap individu.

“Selain itu,  masalah pendengaran atau cacat pendengaran terjadi apabila deria dengar seseorang terganggu atau terhalang daripada menerima atau mengamati sesuatu bunyi, perbualan atau bisikan orang lain. 

“Masalah pendengaran ini berlaku apabila adanya kerosakan pada mana-mana bahagian pendengaran. 

“Manakala, masalah pertuturan didefinisikan sebagai pertuturan yang menunjukkan ketidaksempurnaan sama ada ldari segi bunyi, penguasaan bahasa mengikut umur atau gangguan semasa bertutur,” katanya.

Jelas Narimah,  di negeri Perak, hanya Hospital Taiping sahaja yang menjalankan program saringan ini dengan perkhidmatan oleh empat orang audio therapist dan tiga orang speech theraphist.

“Selain itu, Pendedahan kepada bunyi yang berlebihan dan berpanjangan boleh menyebabkan masalah pendengaran kekal. 

“Penggunaan earphone yang berpanjangan juga boleh menyebabkan masalah pendengaran. 

“Kebanyakan masalah pendengaran boleh dihalang dengan mengamalkan langkah-langkah penjagaan telinga yang sihat, mendapatkan imunisasi, mengelakkan daripada mengambil ubat yang boleh menjejaskan pendengaran, kecuali atas nasihat doktor, serta mengurangkan pendedahan kepada bunyi yang kuat dan gunakan alat-alat perlindungan telinga,” katanya.