TAIPING - Kerajaan negeri disaran memperkenalkan pemberian satu konsesi tiket harga lebih rendah kepada rakyat tempatan bagi menggalakkan kehadiran lebih ramai pengunjung ke Movie Animation Park Studios (Maps).

Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Mohd Odzman Abdul Kadir berkata, cadangan itu dilihat satu keperluan penting bagi memastikan taman tema itu mencapai sasaran kehadiran pengunjung ditetapkan di samping mula menjana keuntungan pada masa hadapan.

Menurutnya, kerajaan negeri boleh meletakkan syarat rakyat tempatan yang memegang kad pengenalan Mykad negeri Perak sebagai permulaan untuk ditawarkan harga tiket masuk lebih rendah berbanding harga asal.

"Sejak Maps dibuka sepenuhnya pada 31 Ogos lalu, saya yakin lebih ramai pengunjung, sama ada orang tempatan atau luar, berminat untuk hadir mengunjunginya.

"Cuma pihak kami melihat harga tiket masuk agak tinggi sedikit menggusarkan keinginan mereka untuk masuk ke taman tema itu terutama penduduk tempatan.

"Justeru, kami melihat cadangan pemberian konsesi harga tiket lebih murah kepada pengunjung tempatan terutama pemegang Mykad negeri Perak adalah alternatif terbaik menggalakkan lebih ramai pengunjung ke Maps,"katanya kepada media pada majlis pelancaran Orange Port Cafe di Hotel Legend Inn, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua(YDP) Majlis Perbandaran Taiping(MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff.

Mohd Odzman berkata, pihaknya menyifatkan usaha mempromosi Maps oleh kerajaan negeri perlu dilaksanakan secara lebih agresif dengan tumpuan lebih diberikan kepada kehadiran pengunjung tempatan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengambil contoh beberapa negara maju seperti Jepun di mana pihak utama yang memajukan destinasi pelancongan negara tersebut adalah penduduk tempatan sendiri.

"Bila orang tempatan ramai datang (Maps), parkir kereta akan dipenuhi kereta dan senario itu secara tidak langsung akan menjadi satu tarikan meningkatkan minat orang ramai untuk turut hadir.

"Jangan ingat kurangkan harga tiket, keuntungan akan kurang, tetapi bila harga kurang, minat orang untuk hadir lebih ramai.

"Paling penting kerajaan negeri masih boleh membuat keuntungan melalui peningkatan 'volume' kehadiran pengunjung,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Odzman menyeru komuniti setempat membantu mengkomersialkan tempat-tempat menarik di kawasan mereka sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan penggiat pelancong dan kerajaan negeri semata-mata.

"Jika kita lihat dewasa ini, banyak lokasi pelancongan menarik di negara kita baru menjadi tumpuan masyarakat setempat hanya selepas ditularkan melalui media sosial.

"Jadi, sebenarnya semua pihak perlu memainkan peranan menceritakan perkara menarik di tempat masing-masing untuk dikunjungi orang luar, barulah industri ekopelancongan di sesuatu daerah atau negeri itu akan semakin kukuh,"katanya.