TELUK INTAN – Hasrat 80 warga Indonesia termasuk 11 wanita untuk menyambut Ramadan di negara sendiri terbantut apabila ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bagan Sungai Belukang, Rungkup di sini, Khamis lalu.

Kesemua mereka dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) menggunakan rumah berkenaan sebagai transit sementara menunggu bot yang akan membawa mereka melalui jalan sungai ke Dumai, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, rumah itu dijadikan transit untuk semua Pati bermalam dan berehat.

Keadaan rumah yang dijadikan transit oleh Pati warga Indonesia.

Menurutnya, kebanyakan mereka datang kawasan Lembah Klang dan membayar sekitar RM600 ke RM800 kepada seorang ejen warga Indonesia bagi urusan pulang ke tanah air.

“Kesemua tangkapan ingin balik ke Indonesia untuk menyambut Ramadan dengan menggunakan jalan salah kerana visa sudah tamat dan tiada dokumen perjalanan diri.

“Pemeriksaan mendapati 39 daripada mereka mempunyai visa tamat tempoh dan 41 orang pula tidak mempunyai dokumen perjalanan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, semalam.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 71 tahun direman selama 14 hari hingga 1 Jun depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1956/63.

Kesemua Pati yang ditahan itu merupakan sebahagian daripada 167 orang yang ditangkap dalam Op Bersepadu Khas Hilir Perak yang diadakan di sekitar daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, sejak jam 10 malam kelmarin hingga 7 pagi semalam.

Wan Hassan berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM6,743 dan menahan seorang lelaki warga Myanmar.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Seorang kanak-kanak tiga tahun merupakan antara 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia yang ditahan dalam operasi bersepadu di enam lokasi sekitar Kota Kinabalu, semalam.
  • SHAH ALAM - Keasyikan tidur warga asing 'terganggu' selepas diserbu imigresen dalam Ops Ikrar di rumah kongsi tapak pembinaan Alam Hijau, Seksyen 22, dekat sini, tengah malam tadi.
  • JOHOR BAHRU - Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan dalam tiga serbuan Op Landai yang dijalankan berasingan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Ahad lepas.
  • KOTA BHARU - Tidur lena golongan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di sebuah rumah kongsi di Kampung Apam, Gual Periok Rantau Panjang, dikejutkan dengan kehadiran sepasukan pegawai Imigresen dalam ops Ikrar di sini, malam kelmarin.
  • SANDAKAN - Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menggagalkan cubaan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk secara haram ke daerah ini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.