PADANG RENGAS - Penduduk di Kampung Batu 17 gempar apabila sebuah rumah di belakang sebuah sekolah tahfiz, di sini, terbakar pagi semalam.

Begitupun, tiada mangsa terperangkap dalam rumah tersebut yang musnah hampir sepenuhnya akibat insiden tersebut.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Aziz Md Nor mengesahkan menerima laporan kejadian ketika dihubungi.

Menurutnya, anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 11.58 pagi semalam.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebuah rumah kampung sedang terbakar.  Selepas ditanya kepada penduduk, mereka mengatakan tiada mangsa terperangkap dalam rumah.

“Anggota kemudiannya segera membantu memadamkan kebakaran menggunakan dua pancutan air yang diambil dari pili bomba berdekatan.

“Selepas beberapa minit, api berjaya dikawal dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 2.04 petang selepas api dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.

Tambah Aziz, operasi pemadaman sedikit mencabar kerana anggota perlu memastikan api dikawal secepat mungkin bagi mengelakkan ia merebak ke bangunan bersebelahan.

“Jadi kami perlu membuat ‘fire break’ bagi mengelakkan ia merebak dan menyebabkan berlakunya lebih banyak kemusnahan.

“Mujur anggota dapat mengawal api dengan pantas. Kalau lambat, mungkin bangunan sebelah akan musnah kerana api sangat marak ditambah pula dengan cuaca panas semasa operasi,” katanya.