IPOH - Kerajaan negeri diminta menyediakan tapak tanah yang bersesuaian dan strategik bagi tujuan pembinaan rumah bagi golongan B40 di sekitar negeri ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penyediaan tapak tanah berkenaan juga perlu bersesuaian dengan gaya hidup golongan berkenaan.

Malah menurutnya, pembinaan rumah berkenaan juga  perlu lengkap dengan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang lain demi menjamin kehidupan yang selesa buat golongan berkenaan.

“Pertama, tanah tersebut perlu sesuai dan sudah ada infrastruktur. Kita tidak mahu golongan B40 ini kita letak di kawasan yang tiada jalan raya, tiada pembangunan atau kemudahan-kemudahan lain.

“Tanpa infrastruktur-infrastruktur ini, mereka akan jadi mundur pada masa hadapan,” katanya pada sidang media sempena pertemuannya dengan Exco Kerajaan Negeri, Yong Choo Kiong, semalam.

Lawatan tersebut bagi berkongsi hala tuju dan dasar kementerian serta perbincangan berkaitan isu perumahan melibatkan B40.

Dalam pada itu Zuraida berkata, pembinaan rumah yang selesa bagi golongan B40 itu sebenarnya adalah antara usaha bagi membangunkan golongan berkenaan agar mereka lebih berdaya khususnya dalam soal pengurusan harta, kesejahteraan, kebersihan dan persekitaran.

Katanya, pembinaan berkenaan sekali gus akan membantu memperkasakan golongan berkenaan terutamanya dalam menambahkan lagi ilmu pengetahuan mereka agar menerima dasar serta polisi baharu kelak.

“Kerajaan negeri selain perlu bertanggungjawab menyediakan perumahan untuk rakyat di peringkat negeri dan kerajaan persekutuan, mereka juga perlu menyediakan program-program kesedaran kepada golongan B40 ini.

“Jika kita dapat melakukannya kita akan dapat meningkatkan lagi taraf hidup golongan B40 ini,” katanya.