IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berjaya memperoleh RM58,750 dalam masa tiga jam dalam Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Bil 2/2018, di Pejabat JPJ Perak, di sini, hari ini.

Pengarahnya, Mohd Zawawi Zakaria berkata, lelongan tersebut membabitkan 30 kenderaan iaitu 18 motosikal, lapan kereta, tiga lori dan sebuah bas.

Beliau berkata, daripada 30 kenderaan tersebut, hanya bas tidak mempunyai pembida.

"Jika berdasarkan statistik, lelongan kali ini antara paling tinggi kita dapat pungut. Pada tahun 2017, siri pertama kita hanya peroleh RM28,300 melibatkan 27 buah kenderaan, siri kedua RM12,080 dengan 22 buah kenderaan.

“Untuk tahun 2018 siri pertama berjaya pungut RM 61,520 tetapi dengan jumlah 61 buah kenderaan, dan hari ini walaupun kita hanya lelong 30 buah kenderaan dan satu tidak tidak terjual tapi dapat pungut RM58,750," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Bil 2/2018, di sini.

Beliau berkata, bidaan paling tinggi yang diterima melibatkan kereta jenis Totoya Estima bernilai RM12,000 manakala bagi jenis motosikal pula, Yamaha RXZ paling tinggi dibida dengan harga RM6,050.

Katanya, kebanyakan kenderaan sita yang dilelong disebabkan kesalahan tiada insurans dan cukai jalan serta tidak dituntut oleh pemilik.