TELUK INTAN - Sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi kerja naik taraf  termasuk pemasangan lampu limpah di Stadium Mini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi di Selabak di sini.

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, berkata peruntukan tersebut telah diluluskan Kementerian Kewangan dan dijangka diperolehi sebelum akhir tahun ini.

Katanya perbincangan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak telah diadakan bagi mendapat persetujuan bahawa stadium tersebut akan dibuka kepada kegunaan semua warga Teluk Intan selepas kerja naik taraf stadium itu siap kelak.

“Pembukaan stadium mini kepada semua adalah penting lantaran kini rakyat Teluk Intan terpaksa bersukan di lokasi Padang Speedy (Pekan Teluk Intan) sahaja.

“Jadi saya berharap rakyat terutamanya yang tinggal berhampiran Selabak dan Padang Tembak bolehlah bersukan selepas waktu bekerja mahupun waktu malam bagi menggalakkan budaya kesukanan dalam diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Stadium mini itu yang siap November 2015, dilengkapi trek larian mengikut piawaian antarabangsa, International Association of Athletics Federations (IAAF) serta kemudahan olahraga.- Bernama.