PARIT BUNTAR - Seorang peniaga durian menanggung kerugian lebih RM3,000 apabila sejumlah 20 khemah niaga miliknya terjejas teruk akibat kejadian ribut kencang di Jalan Perusahaan Industri, di sini berhampiran Taman Kerian, petang tadi.

Mangsa kejadian, Murat Ahmad, 50an, berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang, ketika itu hanya terdapat seorang pekerja yang berada di premis niaga itu.

Menurutnya, meskipun keadaan hujan hanya renyai-renyai, secara tiba-tiba datang angin ribut berbentuk puting beliung yang bertindak membalikkan hampir keseluruhan khemah digunakan pihaknya.

"Nasib baik sewaktu kejadian berlaku, pekerja saya sempat menyelamatkan diri dan tiada pelanggan berada di premis niaga.

"Kejadian itu menyebabkan saya mengalami kerugian lebih RM3,000 memandangkan hanya tiga khemah yang masih selamat," katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian petang tadi.

Murat berkata, dia yang berasal dari Batu Kurau, Larut sudah berniaga di premis itu sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, kesemua hasil buah-buahan tempatan yang dijual selain durian diperolehi dari peraih di Batu Kurau.

"Kejadian itu bagaimanapun tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus berniaga di premis di situ selagi dibenarkan pihak berkuasa tempatan(PBT)," katanya.