MANJUNG - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) merancang menambah sebuah lagi Pasar Tani Kekal (PTK) di negeri ini dalam membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, buat masa ini terdapat tiga buah PTK di Perak iaitu di Gopeng dan Manjung selain Lekir di Sitiawan yang mula beroperasi semalam.

“PTK adalah inisiatif Fama mewujudkan akses pengeluaran serta pemasaran hasil tempatan usahawan tani di samping menjadi tempat untuk rakyat berbelanja dengan harga berpatutan.

“Kerana itu, Fama rancang menambah sebuah lagi PTK di Kampung Gajah selepas kejayaan tiga PTK sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PTK Lekir, di sini, hari ini.

Menurutnya, Fama menjalankan kajian terlebih dahulu bagi memastikan sama ada sesuai atau tidak membuka pasar berkenaan di Kampung Gajah selain berbincang dengan kerajaan negeri mengenai tapak sesuai untuk membinanya.

“PTK Lekir adalah PTK ke-27 yang dibuka di negara ini dan berkonsepkan kawasan rehat dan rawat (R&R) yang menempatkan purata 60 orang usahawan dengan kos pembinaan sebanyak RM2.3 juta.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, pihaknya melihat kewujudan PTK Lekir mampu merancakkan lagi ekonomi usahawan tani setempat selain memudahkan orang ramai membeli hasil pertanian.

“Ini satu inisiatif pertanian penting di Parlimen Lumut kerana PTK bukan hanya memasarkan barangan tempatan dengan pelbagai pilihan malah juga pada harga berpatutan sehingga 30 peratus lebih rendah.

“Saya juga dimaklumkan hari pertama pembukaan PTK Lekir semalam berjaya memperoleh nilai jualan RM90,000 dan ia sesuatu yang luar biasa ekoran tiada promosi besar-besaran dilakukan sempena pembukaannya,” katanya.

Menurut Mohd Hatta pihaknya juga akan berbincang dengan Fama bagi memberi identiti tersendiri kepada PTK Lekir supaya ia lebih dikenali ramai serta menjadi lokasi persinggahan kepada sesiapa yang melaluinya.