IPOH - Rakyat di negara ini perlu bangkit membantah pengesahan Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Penerangan Pertubuhan Kebajikan dan Kemajuan Melayu Malaysia (Maju Malaysia), Mohd Shirin Adenan berkata, pengesahan ICERD bakal menghapuskan hak-hak keistimewaan diberikan kepada orang Melayu termasuk anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Pelaksanaannya bakal menyaksikan berlakunya diskriminasi antara warga negara dan bukan warga negara. Ia secara terang-terangan bertujuan untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu di negara ini.

“Oleh itu, kita perlu terus membantah ICERD ini kerana difahamkan ia sudah dibuka untuk ditandatangani,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Shirin berkata, satu bantahan terhadap Icerd bakal dilakukan di masjid negeri, Masjid Sultan Idris Shah 2, esok.

“Bantahan ini dijangka disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak. Kita harap bantahan ini akan dapat menghimpunkan lebih ramai NGO bagi menggambarkan betapa serius bantahan kita terhadap ICERD,” katanya.