IPOH - Dua rakan karib kalangan bukan Islam kepada Datuk Mohd Kazim Elias merayu pendekatan terbaik dilakukan agar Unit Tahfiz Al Quran Al Barakah tidak ditutup.

Anthony Rajan, 44, berkata, tindakan dibuat itu pastinya bukan satu keputusan mudah memandangkan Mohd Kazim begitu menyanyangi anak-anak tahfiz berkenaan.

“Saya tahu bagaimana perasaan dia ketika ini, saya boleh rasa kesusahan, pastinya sangat berat hati, saya akan cuba bantu semampu yang boleh, tapi dalam hal ini, pastinya sokongan semua pihak diperlukan,” katanya.

Anthony berkata, dia bersama seorang lagi rakan, Choeng Kwong Choy, 60, sudah menganggap pusat pendidikan itu sebagai sebahagian daripada mereka.

Kwong Choy berkata, pada ketika kuliah diadakan, mereka akan hadir untuk mendengar dan sebagai sokongan moral terhadap usaha dakwah dijalankan Mohd Kazim.

“Kami kenal hampir lima tahun lalu bila dia minta kami berdua lakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sini, sejak itu kami terus jadi kawan baik.

“Saya tak mahu lihat pusat tahfiz ditutup dan harap ada pihak sudi tampil menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya.