IPOH – Masjid Muhammadiah (Masjid Cina), Taman Tasek Jaya telah mengambil inisiatif berkongsi rezeki bersama penduduk yang memerlukan dengan menyediakan rak makanan di pekarangan masjid itu sejak dua bulan lalu.

Pengerusi Masjid, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, aktiviti itu adalah sebahagian daripada sumbangan masjid dengan menyediakan keperluan makanan seperti tepung dan beras untuk mereka yang memerlukan.

“Setiap hari kita meletakkan makanan untuk orang ramai yang memerlukan dan berkongsi rezeki yang ada hasil daripada aktiviti menyewa dewan masjid dan mesin air sumbangan ahli kariah.

“Sesiapa sahaja boleh ambil makanan di sini tapi kita tidak menggalakkan ada pihak mengambilnya semua sekali kerana masih ada individu lain yang memerlukannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut menggalakkan kariah menderma dengan meletakkan makanan di rak disediakan walaupun pihaknya menyediakannya setiap hari.

Pada masa sama, Fadli Cheah berkata, pihaknya turut merancang untuk mengembangkan fungsi masjid menjadi pusat dakwah dengan membina sebuah bangunan yang menempatkan kelas pengajian dan aktiviti kebudayaan.

“Pembinaan bangunan itu merupakan fasa kedua pusat dakwah ini. Fasa pertama adalah masjid dan dewan solat dan kali ini kita bercadang mahu membina bangunan dua atau tiga tingkat mengikut bajet yang diperoleh.

“Setakat ini kita hanya mempunyai RM500,000 dan memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk menjayakannya. Pusat dakwah ini melibatkan pendidikan, kelas tahfiz dan sekolah agama selain aktiviti kebudayaan,” katanya.

Menurutnya, pusat dakwah itu sendiri akan menjadi medium untuk mengeratkan perpaduan bersama rakyat yang berbilang kaum.

Sementara itu, Zambry menyarankan jawatankuasa masjid turut mengambil pendekatan sama melaksanakan program rak makanan itu.

“Saya fikir masjid lain juga ada yang melaksanakannya dan ia satu amalan yang baik. Saya syorkan masjid-masjid lain mengikuti amalan ini dan disemarakkan ke semua tempat.

“Mengenai bangunan, kerajaan negeri sedia membantu menambahkan peruntukan bagi membina bangunan berkenaan. Bagaimanapun, jumlah itu akan diumumkan kemudian,” katanya.

Jelasnya, sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan masjid itu menjadi contoh dalam menterjemahkan konsep kehidupan masyarakat lebih aman dan memahami antara satu sama lain.

“Dalam konteks penganjuran sambutan ini di masjid, Islam itu sendiri membawa rahmat ke sekalian alam dan wajar diterjemahkan dalam kehidupan kita. Islam itu sendiri dianuti oleh pelbagai masyarakat di seluruh dunia.

“Tahniah kepada pihak Masjid Cina Ipoh yang menganjurkan majlis seperti ini dan diharapkan semangat seperti ini menjadi contoh dalam melahirkan masyarakat yang harmoni,” katanya.