CHEMOR - Penduduk Kampung Ulu Chepor meminta kerajaan melihat semula keadaan laluan masuk ke kampung tersebut yang kini tidak lagi mempunyai persimpangan seperti sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Anak Jati Kampung Ulu Chepor, Abdul Rahman Shamsuddin berkata, sejak Jalan Jelapang-Chemor dinaik taraf sempena Sukan Malaysia (Sukma), penduduk menghadapi kesukaran untuk menghantar anak ke sekolah kerana terpaksa membuat pusingan U dalam jarak yang agak jauh.

Beliau berkata, malah keadaan itu juga turut dilihat akan menjejaskan kehadiran pelancong ke kawasan perkelahan terkenal di negeri ini iaitu Lata Ulu Chepor.

"Ini satu-satunya laluan masuk ke kampung ini dan kita rasa terkesan bila susah nak keluar kampung dan perlu pusing jauh nak keluar dan masuk kampung.

"Persoalannya, kampung ini ada tempat pelancongan terkenal, kenapa tak ada simpang masuk?," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Silaturahim Anak Jati Kampung Ulu Chepor di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Chepor, di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dalam majlis tersebut terdapat beberapa isu yang turut dibangkitkan antaranya masalah pembangunan kampung, program belia dan sebagainya.

Katanya, kesemua masalah itu akan dibincangkan oleh jawatankuasa sebelum membawa perkara tersebut ke pihak berkaitan.

Beliau berkata, perjumpaan tersebut julung kali diadakan selepas dicadangkan oleh ramai penduduk dan anak jati kampung yang berada perantauan.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Penduduk Ulu Chepor, Mohd Ariffin Zainal Abidin berkata, setakat ini kehadiran pelancong ke Lata Ulu Chepor masih baik biarpun terdapat rungutan mengenai jalan masuk tersebut.

Katanya, Lata Ulu Chepor tersebut diuruskan oleh koperasi berkenaan dan sepanjang cuti hujung minggu ini sambutan yang diterima amat baik.

"Sebenarnya rungutan daripada penduduk kampung. Pengunjung setakat ini tak terjejas. Malah hujung minggu ini purata sehari dalam 400 hingga 500 kereta yang masuk ke sini.

"Mungkin rungutan oleh penduduk kampung ada asasnya kerana mereka gunakan laluan itu setiap hari," katanya.