TAIPING - Demi menyamun sedikit buah betik, seorang pemilik kebun buah-buahan sanggup dicederakan seorang lelaki sebelum disamun di kebun buah-buahannya di Kampung Pak Dollah, di sini dalam kejadian 9 Oktober lalu.

Bagaimanapun, suspek berusia lingkungan 40an dan merupakan orang tempatan berjaya dicekup polis hari ini.

Ketua Polis Daera Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, lebih kurang jam 1 petang, suspek ditangkap di rumahnya di Kampung Pak Dollah, di sini oleh sekumpulan anggota polis.

Menurutnya, penangkapan dibuat susulan suspek dipercayai terlibat dalam kejadian menyamun dan mencederakan seorang pemilik kebun buah-buahan berusia 58 tahun dengan kayu.

"Kejadian berlaku pada jam 7 malam, 9 Oktober lalu apabila mangsa yang bersendirian di kebun buah-buahannya diserang mengejut dengan menggunakan kayu oleh suspek sehingga menyebabkan kecederaan.

"Suspek difahamkan turut menyamun sebilangan buah betik baru dipetik mangsa di kebunnya, manakala mangsa dimasukkan ke wad Hospital Taiping selama seharian akibat  kecederaan dialami,"katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohamad berkata, dengan tangkapan suspek berkenaan, polis telah berjaya menyelesaikan kes samun tersebut dan kemungkinan lain-lain kes jenayah di kawasan itu.

"Kita sedang menyiasat lain-lain kes jenayah yang dipercayai turut membabitkan suspek di kawasan jenayah berlaku,"katanya.