TELUK INTAN - Pimpinan DAP Perak menjangkakan PRU14 akan diadakan dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, pihaknya mendapat maklum bahawa semua cuti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dibekukan bagi tempoh dua bulan akan datang.

“Selain itu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah menempah helikopter, maka lepas raya Cina (Tahun Baharu Cina) ini kita jangka akan ada PRU.

“Dalam tempoh 60 hari kita akan ucap selamat tinggal kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak serta BN, dan kita akan sambut kerajaan baru yang berjiwa rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 Pakatan Harapan, di Teluk Intan, hari ini.

Menurut Kor Ming, PRU14 bukanlah melibatkan perlawanan antara Harapan dengan BN tetapi lebih kepada pertembungan antara rakyat Malaysia melawan Najib.

“Landskap politik sudah berubah apabila bekas pemimpin negara, Tun Mahathir Mohamad kini bersama Pakatan Harapan dan menjadikan kita kuat.

“Kita juga ada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng serta Mohamad Sabu yang merupakan pimpinan berwibawa dan berpengalaman, jadi mari bersama-sama pastikan negara kita tidak hancur,” katanya.