PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri melahirkan kebimbangan dengan perkembangan kerja naik taraf Padang Bandaran apabila projek dimulakan sejak Mac itu belum pun mencapai 50 peratus siap.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Lee Chuan How berkata, kerja naik taraf kepada padang rumput sintetik melibatkan kos RM8.7 juta itu berada pada tahap 47 peratus, namun terlewat 6 peratus dari jadual asal pelaksanaan projek.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan kerajaan negeri menyediakan pelan alternatif memindahkan perlawanan bola sepak yang dijadualkan di situ ke venue lain.

“Saya turut dimaklumkan ada masalah dengan kerja pemasangan cerucuk dan beberapa isu lain yang menyebabkan perkembangan kerja di sini sedikit terlewat.

“Kerisauan utama kita sama ada projek ini mampu disiapkan mengikut jadual sebelum tarikh ditetapkan bagi urusan pemulangan semula kepada kerajaan negeri iaitu 15 Julai ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Perkembangan kerja menaik taraf Padang Bandaran Parit Buntar.

Beliau berkata, pelan alternatif peralihan venue dicadangkan setelah menerima maklum balas Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (Pafa), Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Jabatan Kerja Raya(JKR), satu daripada lokasi pilihan itu adalah di Tanjung Malim.

Bagaimanapun katanya, proses menukar tempat perlawanan Sukma bukan perkara mudah kerana perlu mendapat pengesahan dan wajib memenuhi piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

“Kita akan bawa perkara ini dalam mesyuarat exco pada Rabu dan mesyuarat Lembaga Pengarah Pengurusan Sukma Perak pada Khamis nanti. Tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan setelah maklumat tambahan diperolehi dalam seminggu ini, satu keputusan terbaik akan dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chuan How berpuas hati dengan penyediaan empat venue lain Sukma di Kerian dan Gerik melibatkan sukan Muay Thai, berbasikal lasak BMX dan basikal bukit, bola jaring dan judo.

“Lokasi pertandingan judo di Dewan Taman Kerian Permai, Kerian berjaya disediakan dalam keadaan terbaik dan saya berharap ianya dapat disusuli venue pertandingan lain,” katanya.