WAJAHNYA yang sawo matang, hidung tinggi dan mata bundar, sekali pandang tidak ubah seperti pelancong dari negara Timur Tengah.

Sebaliknya, Mohammad Rizal Mohd Yusuf, 30, merupakan anak jati Ipoh, berketurunan Pakistan.

Menurutnya, individu yang tidak mengenalinya pasti menyangka pelancong luar hinggakan takut untuk bertegur sapa.

“Kadang-kadang orang toleh dua kali sebab keliru dengan wajah saya, padahal saya ni orang sini sahaja, boleh cakap Melayu pun,” katanya.

Lebih membanggakan, apabila dia seorang yang berpegang teguh kepada prinsip hidup.

Taat kepada tuhan, raja dan negara; menolong orang setiap masa dan patuh kepada undang-undang pengakap.

Prinsip dalam pengakap yang dipegang sejak dibangku sekolah itulah berjaya membentuk keperibadiannya bukan sahaja untuk berkhidmat kepada masyarakat malah kepada negara.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak ini berkata, kesetiaan dalam badan beruniform itu berjaya membentuk perpaduan dalam masyarakat.

“Melihat kepada perpaduan dalam masyarakat kita, perpaduan kita masih utuh umpama keluarga dan hanya pendapat yang membezakannya. Bagaimanapun, perpaduan boleh diperkasakan di peringkat pelajar lagi menerusi badan beruniform dan pengakap sendiri mempunyai slogan ‘unity through scouting’.

“Dari situlah, pelajar akan memperoleh lencana ‘messenger of peace’. Semangat perpaduan akan lebih utuh dengan bermula daripada akar umbi umpama melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” katanya.

Menurutnya, penglibatan dalam persatuan dan badan beruniform akan berjaya mengilhamkan sumbangan kepada masyarakat menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Dilantik pengerusi masjid di usia muda

Mungkin kerana aura kepimpinan dimilikinya, Mohammad Rizal diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Masjid Pakistan Perak sejak tiga tahun lalu.

Tidak berasa terbeban, dia menganggap ruang itu sebagai platform kepadanya untuk mendekati semua lapisan masyarakat.

Katanya, usai tamat pengajian di universiti, semangat berbakti tidak terpadam berikutan sentiasa aktif dalam pelbagai persatuan termasuk mewakili belia negara ke Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Negara-negara Komanwel di Capetown, Afrika Selatan.

“Pemilihan saya sebagai pengerusi persatuan itu juga tidak dijangka dan mandat yang diberikan pengerusi sebelum ini menjadikan ia sebagai satu tanggungjawab yang perlu dijaga sebaik mungkin.

“Bermula dari situlah, kita dapat mengurus serta menjalankan kerja-kerja kebajikan dan mengekalkan masjid itu sendiri yang dipenuhi dengan pelbagai nilai-nilai sejarah hingga menjadi daya tarikan pelancong,” katanya.

Mohammad Rizal berkata, persatuannya sentiasa menjalankan aktiviti kebajikan termasuk mengedar bubur lambuk yang dijadikan aktiviti tahunan sempena Ramadan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELIHAT dari nama kedainya Ah Sen Motor, pasti ramai yang menyangka pemiliknya berbangsa Cina, namun siapa sangka bengkel membaiki motosikal itu dimiliki lelaki berbangsa India.
  • BERPEGANG teguh atas prinsip membantu tanpa mengharapkan balasan, dia tidak pernah menyalahgunakan tanggungjawab yang diberikan untuk kepentingan peribadi.
  • LEE Ho Chu, 63, atau lebih mesra dengan panggilan Ucong bukan lagi nama yang asing di kalangan penduduk Langkap.
  • BOLEH makan sepinggan, minum secawan. Itu antara bukti keakraban dua sahabat meskipun berbeza budaya dan agama.
  • MASIH muda berbanding individu lain menjawat jawatan sama namun semangatnya untuk melihat perpaduan erat dalam kalangan masyarakat tidak pernah padam malah sentiasa membantu mereka dalam kesulitan.