PARIT - PKR Cabang Parit menyatakan sokongan terhadap ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding presiden parti berkenaan pada pemilihan akan datang.

Ketua cabangnya, Kapten (B) Usaili Alias berkata, pentas presiden juga persediaan kepada Anwar untuk dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8.

“PKR Cabang Parit bersetuju sebulat suara agar Datuk Seri Anwar dilantik presiden parti menggantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada pemilihan September ini.

“Bagi kami inilah masanya untuk Datuk Seri Anwar menerajui parti untuk memenuhi kehendak ahli lebih-lebih lagi selepas rakyat memilih PKR pada PRU14 lalu,” katanya kepada Sinar Harian selepas Jamuan Hari Raya PKR Cabang Parit bersama rakyat di Dewan Serbaguna Teluk Kepayang, Bota, petang tadi.

Menurut Usaili, PKR Cabang Parit tidak menafikan jasa Wan Azizah yang memimpin parti selama 20 tahun sehingga dia dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri atas kepimpinan dan ketokohan dimilikinya itu.

“Tetapi sudah sampai masanya kita menyerahkan pimpinan PKR kepada Datuk Seri Anwar sebagai persediaan beliau menjadi Perdana Menteri.

“Datuk Seri Wan Azizah juga sebelum ini pernah mengatakan bahawa beliau sedia berundur diri bagi memberi laluan kepada suaminya untuk menerajui parti dan kami melihat ia tidak akan menjadi masalah kepada PKR,” katanya.

Tambahnya, PKR Cabang Parit juga turut berdoa agar kesihatan Anwar kembali pulih seperti sediakala bagi memudahkan beliau memimpin parti lebih-lebih lagi bila dilantik menjadi Perdana Menteri.

Pada masa sama Usaili turut memaklumkan PKR Cabang Parit mencadangkan agar dua jawatan utama parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

“Kami mahu jawatan Presiden PKR diberikan kepada Datuk Seri Anwar manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikekalkan sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Kedua-dua jawatan ini diharapkan tidak dipertandingkan memandangkan ia disandang oleh dua tokoh yang tidak boleh disangkal kewibawaan mereka,” katanya.