IPOH - Hanya menggunakan botol plastik, besen, penapis serta beberapa peralatan lain, dua lelaki dikesan ligat menjalankan aktiviti memproses dadah jenis methamphetamine, sejak tiga bulan lalu.

Aktiviti didalangi lelaki tempatan masing-masing berusia 32 dan 50 tahun itu dilakukan di sebuah makmal mini yang dibina menggunakan kain kanvas berhampiran kawasan belukar di Jalan Perindu, Silibin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kegiatan itu berjaya dibongkar hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, 11 Mac lalu sekitar jam 4.30 petang.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui peralatan digunakan bagi tujuan memproses dadah serta merampas sejumlah 9.3 kg cecair disyaki methamphetamine dianggarkan bernilai RM651,000.

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan sebuah rumah di Taman Sri Kurau, Bercham.

“Mini makmal yang dibina mereka ini agak sukar dilihat dari jalan besar, ada laluan khusus untuk sampai ke situ, daripada siasatan awal, didapati mereka menjalankan pemprosesan dadah bergantung kepada tempahan diterima.

“Walaupun nampak seperti peralatan nak buat teh tarik sahaja, tapi daripada rampasan, kita dapati suspek mempunyai kebolehan dan kepakaran dalam menghasilkan dadah ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek pertama berusia 50 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai empat rekod lampau, termasuk dikehendaki bagi kes makmal dadah di lokasi sama.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai pertalian keluarga, namun bekerjasama menjalankan kegiatan terbabit. Mereka kini ditahan reman selama enam hari hingga 17 Mac ini  bagi siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam operasi berasingan, kurang dua jam sebelum serbuan ini, pasukan sama turut berjaya menumpaskan satu sindiket membekalkan dadah di pusat-pusat hiburan dengan tertangkapnya seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Sri Kurau, Bercham.

Mohd Ali berkata, serbuan jam 3 petang itu, merampas pil ectasy seberat 324 gram, ketamin (120 gram) dan amphetamine (2,755 gram) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM335,979.

Katanya, suspek menggunakan kaedah membungkus semula dadah dalam bentuk paket minuman bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Rampasan dadah ini diperolehi hasil pemeriksaan di rumah serta sebuah kereta jenis Proton yang terdapat di kediaman berkenaan.

“Daripada siasatan awal, lelaki terbabit menjadikan rumah itu sebagai tempat pembungkusan sebelum dihantar ke pusat-pusat hiburan,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu kini direman selama enam hari hingga 18 Mac dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.