TAPAH - Polis Perak membuka 27 kertas siasatan melibatkan pelbagai jenis kesalahan berkaitan PRU14 lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, ia melibatkan kesalahan  merosakkan poster parti, perasaan tidak puas hati terhadap penyokong, kesalahan melibatkan simbol parti dan lain-lain kesalahan yang tidak mengancam keselamatan.

“Penugasan PRU14 bagi PDRM Perak telah melaksanakan dalam lima rasa keseluruhan dan pihak kami masih lagi membuat pemantauan dan meneruskan operasi-operasi susulan bagi memastikan keadaan keselamatan dan kesejahteraan di Perak dikekalkan.

“PDRM Perak terus kekal komited memikul amanah dan tanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negeri Perak serta mengekang kegiatan jenayah dan gangguan ketenteraman awam agar sentiasa kekal rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Mei 2018, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, semalam.

Hasnan turut berterima kasih kepada masyarakat Negeri Perak atas kerjasama baik yang diberikan sehingga perjalanan PRU14 dapat berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang insiden yang mengganggu gugat ketenteraman awam.

Dalam pada itu, PDRM Perak mengucapkan tahniah kepada Adun Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak baharu.

“Tahniah juga kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam Kementerian Dalam Negeri,” katanya.