IPOH – Polis mengesahkan kanak- kanak berusia dua tahun yang tubuh badannya dipenuhi kesan gigitan dan lebam didera oleh ibu kandungnya di rumahnya di Kampung Chui Chak, Langkap, Teluk Intan, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, hasil soal siasat mendapati, ibu kanak-kanak berkenaan memukul tanpa sebab, namun tidak dapat mengesahkan pelakunya sama ada ada kaitan dengan masalah mental atau tidak.

Bagaimanapun menurutnya, ibu bapa mangsa berkenaan dilepaskan dengan jaminan polis, semalam.

“Kita mengesahkan kanak-kanak perempuan itu didera berbanding abangnya.

“Kes ini akan diserahkan kepada pendakwa raya untuk pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Akhbar ini, semalam melaporkan ibu mangsa berusia 25 tahun dikatakan menggigit perut anaknya sehingga meninggalkan kesan lebam.

Difahamkan, ibu muda berusia 25 tahun itu bijak ‘melindungi’ kesan lebam di tubuh anaknya apabila hanya memakaikan pakaian lengan dan seluar panjang bagi mengelak disedari ahli keluarga lain termasuk suaminya sendiri.

Penderitaan kedua-dua kanakkanak malang itu terbongkar apabila bapa mangsa membawa anak bongsunya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Kanak-kanak malang itu bersama abangnya ditempatkan di Hospital Raja permaisuri Bainun sejak 19 Mei lalu.