BERUAS - Sebatang pokok sawit berusia 20 tahun tumbang menghempap sebuah rumah di Kampung Banjar, Beruas petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohamad Azlan Mahiyidin berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian didapati sebatang pokok sawit setinggi 10 meter tumbang dan menghempap di bahagian kiri rumah tersebut yang menempatkan bilik tidur.

“Rumah itu dihuni enam sekeluarga dan ketika kejadian keluarga itu termasuk dua warga emas berumur 70-an berada di bahagian bawah rumah terbabit  dan tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.

“Semasa kejadian cuaca adalah baik dan pokok ini dipercayai tumbang disebabkan akarnya sudah reput memandangkan usia pokok itu lebih kurang 20 tahun,” katanya

Katanya, enam anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian bertindak memotong pokok itu dan operasi selesai jam 4.30 petang.

“Dianggarkan keluarga ini mengalami kerugian lebih kurang RM3,000,” katanya.