GOPENG - PKR Perak meminta cadangan sistem e-voting yang bakal digunakan pada pemilihan PKR  pada masa depan diperhalusi lebih teliti.

Pengerusinya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, ujian perlu dilakukan dibanyak tempat dan pelbagai lokasi bagi memastikan keberkesanannya.

Katanya, secara dasarnya cadangan itu amat baik dari sudut penjimatan kos mengendalikan pemilihan nanti.

“Kita perlu melihat dari sudut lokaliti-lokaliti tertentu yang banyak kemudahan, kurang kemudahan dan amat kurang kemudahan seperti capaian internet dan sebagainya.

“Kita bimbang proses demokrasi ini tidak berjalan dengan baik seperti yang diharapkan oleh pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng, di sini, hari ini.

Mengenai cadangan agar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden parti, Muhammad Nur berkata perkara itu perlu mendapat persetujuan Anwar itu sendiri.

Katanya, perkara itu belum dimuktamadkan dan perlu menunggu sedikit masa lagi.