IPOH - Dua pengawal keselamatan warga Nepal terpaksa meminjam wang majikan RM10,000 setiap seorang bagi membayar denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan memberi suapan kepada seorang anggota polis, 9 Julai lalu.

Chaudhary Satya Narayan, 30, dan Das Kanhaiya Lal, 40, yang bekerja di sebuah syarikat keselamatan di Ipoh dituduh secara bersama memberi suapan berupa wang tunai kepada Lans Koperal Mohd Fitri Lasim  sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan memandu tanpa lesen.

Atas pertuduhan itu, kedua-dua mereka yang sudah berkahwin dan masing-masing memiliki tiga anak dikenakan denda RM10,000 setiap seorang dan penjara satu bulan.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh dilaksanakan berkuatkuasa 24 Julai 2018 dan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikuti fakta kes, kedua-dua tertuduh tetap meneruskan niat memberikan wang meskipun telah diberi amaran oleh anggota terbabit bahawa ia satu kesalahan rasuah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di persimpangan  lampu isyarat antara Jalan Dato Onn Jaafar dan Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh pada jam lebih kurang 4.55 petang, 9 Julai 2018.

Tuduhan dilakukan dibawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal sementara kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Ranjit Singh Sandhu.

Dalam hujah pembelaan, Ranjit Singh memaklumkan, kedua-dua tertuduh  tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan menyesal dengan kesalahan dilakukan.

"Keduanya juga sudah membuat pinjaman daripada majikan untuk membayar denda yang dikenakan," katanya.