• Pertindihan calon Pas, PKR di Dun Sungai Manik Anggota Cabang PKR Pasir Salak menyokong pencalonan Ketua PKR Cabang Pasir Salak, Osman sebagai calon PRU13.
1 /

LANGKAP - Dun Sungai Manik bakal menyaksikan pertindihan calon Pakatan Rakyat (PR) apabila parti PKR dan Pas meletakkan calon masing-masing di kerusi N48 untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Sebelum ini, Pas telah membuat pengumuman dan mahu mencalonkan Yang Dipertua (YDP) Pas Pasir Salak Dr Muhaimin Sulamuddin  sebagai calon bagi Dun Sungai Manik untuk  Piliharaya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Namun begitu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pasir Salak  dalam satu sidang media diadakan di Pejabatan PKR, di sini, membuat pengumuman untuk meletakkan Ketua Cabang Pasir Salak,  Osman Abdul Rahman sebagai calon untuk kerusi Dun Sungai Manik.

Pengarah PRU Dun Sungai Manik, Muzaffar Shah berkata,pemilihan Ketua PKR Cabang Pasir Salak itu sebagai calon bagi PRU13 adalah sesuai bagi memastikan kerusi itu dirampas daripada BN.

Katanya, kebanyakan penduduk di  Parlimen Pasir Salak khususnya di Sungai Manik menerima baik kunjungan serta program telah diadakan oleh anggota PKR Cabang Pasir Salak semenjak 2008 sehingga kini.

“Tiada timbul masalah pertindihan calon bagi kerusi Dun Sungai Manik diantara PKR dan Pas kerana ianya tidak pernah timbul  diantara kami malahan status quo kerusi N48 adalah milik PKR.

“Bukan itu sahaja, YDP Pas, Dr Muhaimin  turut menghubungi kami bahawa beliau akan menerima sebarang keputusan pusat  berkenaan calon untuk kerusi N48 bagi PRU13,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Muzaffar berkata, jawapan yang diberikan oleh Dr Muhaimin menunjukkan tiada masalah berkenaan peletakkan calon bagi kerusi Dun Sungai Manik PRU13 ini.

Sementara itu, Penasihat AMK Pasir Salak, Azwan Ramli berkata, pihaknya telah bersiapsiaga bagi menyusun strategi  yang maksimum dengan penampilan yang berlainan sam sekali berbanding dengan Umno yang berkempen menggunakan cara ketinggalan zaman serta tidak diterima  rakyat.

Katanya, AMK bekerjasama dengan anggota  Cabang akan meletakkan sasaran lebih kepada golongan muda yang mana menjadi undi penentu PRU13  kali ini.

Menurutnya, pihaknya juga telah menghubungi rakan-rakan di perantauan supaya pulang membantu dan sekurang-kurangnya memberikan undi kepada calon PR di sini.

Katanya, AMK berkeyakinan bahawa pengundi di kalangan anak-anak muda akan menyebelahi PR kerana  orang muda telah didedahkan banyak maklumat berkenaan penyelewengan  berlaku sepanjang pemerintahan BN sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan bantuan jentera dan petugas dari AMK Cabang Pasir serta Pemuda Pas untuk tampil  membantu akan memberikan kesan baik kepada jentera teknikal pilihanraya khususnya di Dun Sungai Manik.