IPOH – Orang ramai khususnya  peniaga kini boleh memperoleh lesen perniagaan dengan lebih mudah menerusi penyeragaman yang dibuat terhadap permohonannya melalui Manual Pelesenan Perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pelaksanaan penyeragaman berkenaan dilihat bersesuaian  diharap tidak lagi menimbulkan kekeliruan khasnya daripada pihak pemohon.

Malah katanya, penyeragaman berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), untuk dilaksanakan.

“Program ini secara keseluruhannya adalah mengenai penyeragaman panduan macam mana nak mohon lesen.

“Sebelum ini pihak PBT, memiliki cara dan kaedah tersendiri. Sekarang dengan kerjasama MPC kita seragamkan dan ini memudahkan lagi peniaga mohon lesen masing-masing.

“Kita  akan panggil kumpulan ini (peniaga) untuk kita uar-uarkan lagi mengenai penyeragaman prosedur ini,” katanya.

Rusnah berkata demikian pada Majlis Pelancaran Manual Pelesenan Perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Perak Darul Ridzuan, di Tronoh Hall, Kinta Riverfront, baru-baru ini.

Sementara itu Rusnah berkata, kesemua 15 PBT di seluruh negeri menggunakan manual atau panduan berkenaan.