• Nor Aishah bergantung kepada bantuan pernafasan selama 24 jam. Nor Aishah bergantung kepada bantuan pernafasan selama 24 jam.
1 /

IPOH – Pergerakan seorang remaja, di sini terbatas apabila terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan akibat penyakit kronik yang dihadapinya.

Pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Pusing, Batu Gajah, Nur Aishah Halim, 13, disahkan menghidap sejenis penyakit Vasculitis atau dikenali sebagai radang
paru-paru yang mula dikesan lapan tahun lalu.

Ibunya, Zarina Abu Hanipah, 44, berkata, anaknya dilihat semakin kritikal sejak tahun lalu selepas selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila wajahnya pucat dan didapati salur pada paru-parunya telah pecah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia mengalami batuk berdarah terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan sehingga kini masih berada di Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

“Hampir tiga bulan dia ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengenal pasti punca penyakitnya dan doktor yang merawatnya memaklumkan kes Nur Aishah jarang berlaku pada usia muda kerana kebiasaan dihidapi individu yang kuat merokok,” katanya.

Beliau berkata, kini dia ditempatkan di Hospital Selayang untuk dimasukkan sejenis ubat dan  masih berbaki empat dos lagi ubat bagi rawatan susulan, bagaimanapun bergantung kepada kesihatan Nur Aishah.

Katanya, dia dan suami buntu untuk menyediakan peralatan mesin dan alat bantuan pernafasan untuk kegunaan anaknya setiap hari yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit tambahan pula suaminya hanya bekerja sebagai pemandu bas.

“Saya berharap Aishah kembali sihat dan dapat bersekolah seperti remaja lain.

"Sejak sakit, Aishah sempat belajar di sekolah dalam HKL tetapi di hospital lain, jururawat turut meminjamkan dia buku untuk dibaca,” katanya.

Sesiapa yang simpati dengan nasib Nur Aishah yang memerlukan bantuan mesin dan alat bantuan pernafasan boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun ibunya, Zarina, Public Bank 4-7047505-03.